Home » » 10 Film Terbaik Malaysia 2011

10 Film Terbaik Malaysia 2011


Tahun 2011 menyaksikan banyak filem tempatan yang berjaya mendapat kutipan tertinggi dan sambutan luar biasa daripada penonton. Ia merupakan petanda baik buat semua penggiat seni tanah air untuk sentiasa memantapkan karya mereka bagi tatapan penggemar filem.


Mari kita saksikan 10 filem tempatan yang mendapat kutipan tertinggi sepanjang tahun 2011 mengikut carta yang diambil daripada laman sesawang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

10 Filem Terbaik Malaysia 2011



1. KL GANGSTER

Pada saat ini, filem arahan Syamsul Yusof merupakan Filem Terbaik Malaysia 2011 yang mendapat kutipan tertinggi. “KL Gangster” yang diterajui oleh Aaron Aziz, Adyputra dan juga Syamsul sendiri ini berkisarkan permusuhan dunia samseng di ibu kota. Filem ini telah berjaya mendapat kutipan RM11.74 juta dan kejayaan “KL Gangster” tidak berhenti di situ sahaja apabila Syamsul diangkat sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-24. Ia secara tidak langsung membuktikan bahawa penggemar filem dahagakan filem aksi selepas industri filem dikuasai oleh genre seram satu ketika dulu.



2. OMBAK RINDU

Berjaya mendapat kutipan sebanyak RM10.9 juta secara keseluruhan, filem arahan Osman Ali yang diadaptasi daripada novel karya Fauziah Ashari ini berjaya mencipta satu fenomena apabila ia ditayangkan di pawagam pada 1 Disember 2011. Menggandingkan pelakon hebat dan popular seperti Maya Karin, Aaron Aziz, Lisa Surihani dan Bront Palarae, “Ombak Rindu” menyaksikan perjalanan kisah hidup Izaah yang penuh dengan onak dan duri.



3. HANTU BONCENG

Filem yang menggandingkan aktor kelakar Zizan Raja Lawak dan aktres Juliana Evans ini dikatakan berjaya mencipta ‘hubungan cinta’ antara dua peneraju utamanya apabila dilihat mesra bersama. Filem arahan Ahmad Idham ini telah berjaya mendapat kutipan sebanyak RM8.53 juta, mempertaruhkan genre yang menjadi kegilaan penonton tempatan iaitu komedi seram. “Hantu Bonceng” mengisahkan seorang mat rempit yang diganggu oleh hantu wanita yang mati dalam satu kemalangan ketika bersamanya.



4. KONGSI

Filem arahan Farid Kamil ini merupakan saingan hebat buat filem “KL Gangster” arahan Syamsul Yusof ketika Festival Filem Malaysia ke-24 tahun lalu. Malah apabila Syamsul dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, muncul khabar angin kononnya Farid tidak berpuas hati. Walaubagaimanapun “Kongsi” telah berjaya mendapat kutipan sebanyak RM8.09 juta. Tidak dinafikan jalan cerita yang menarik, elemen komedi yang diselitkan dan semestinya peneraju utama Shaheizy Sam adalah tarikan filem “Kongsi” mendapat perhatian ramai. Ia mengisahkan seorang pembunuh upahan yang ditugaskan membunuh setiap ketua kongsi gelap di Malaysia.



5. KHURAFAT

Ini merupakan filem kedua arahan Syamsul Yusof yang berjaya mencatat kutipan tinggi untuk tahun 2011. Ditayangkan pada awal Januari, ia berjaya mencatat kutipan lebih RM8 juta. Dilakonkan oleh Syamsul sendiri bersama aktres muda Liyana Jasmay, memang tidak dinafikan keunikan jalan ceritanya serta imej seram yang begitu efektif menjadi tarikan utama penggemar filem ke panggung, walaupun pasti ada yang mempertikaikan kesesuaian dan keserasian antara pasangan ini.



6. HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

“Hikayat Merong Mahawangsa” (HMM) pernah dikatakan ‘tidak layak’ diangkat sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-24 tahun lalu. Walaupun berjaya mendapat kutipan sebanyak RM6.5 juta di Malaysia dan kurang daripada apa yang disasarkan, filem ini dilaporkan tidak begitu mendapat sambutan di peringkat antarabangsa. Walaubagaimanapun pujian harus diberikan kepada KRU Studios kerana mengambil langkah berani untuk menghasilkan filem yang sarat dengan teknik penjanaan imej berkomputer (CGI) ini dan ia merupakan sesuatu baru kepada industri filem tempatan.



7. NUR KASIH THE MOVIE

Kisah percintaan Adam dan Nur Amina ini berjaya mendapat kutipan sebanyak RM4.93 juta. Diadaptasi daripada drama bersiri “Nur Kasih“, filem arahan Khabir Bhatia ini sememangnya dinanti-nantikan oleh pengikut “Nur Kasih” yang ingin mengetahui kesudahan kisah Adam dan Nur. Begitu hebat penangan kisah ini sehinggakan peneraju utama, Remy Ishak dan Tiz Zaqyah kini menjadi pasangan kekasih di sebalik tabir.



8. BINI-BINIKU GANGSTER

Sebelum ini mereka pernah digandingkan bersama dalam filem “Adnan Sempit”. Kini Shaheizy Sam, Yana Samsudin dan Intan Ladyana digandingkan sekali lagi filem arahan Ismail Bob Hashim berjudul “Bini-Biniku Gangster”. Hasilnya, filem ini berjaya mendapat kutipan RM4.71 juta. Filem ini mengisahkan seorang lelaki yang beristeri dua tidak mengetahui bahawa kedua-dua isterinya adalah ketua gangster untuk dua kumpulan yang bermusuh. Skrip filem “Bini-Biniku Gangster” adalah hasil garapan Yana Samsudin sendiri.



9. KARAK

Filem bergenre seram terbitan KRU Studios ini berjaya mendapat kutipan sebanyak RM4.28 juta. Filem arahan Yusry Abdul Halim ini menyaksikan kemunculan pertama juara “Akademi Fantasia” musim kelapan, Shahir. “Karak” mengisahkan sekumpulan pelajar yang mengikut Lebuhraya Karak untuk memintas kesesakan lalu lintas kerana perlu menghadiri kelas keesokannya.



10. SUATU MALAM KUBUR BERASAP

Filem bercorak komedi seram arahan Ernie Chen ini telah berjaya mendapat kutipan sebanyak RM3.99 juta walaupun ia bukanlah jumlah kutipan akhir kerana filem ini masih lagi ditayangkan di pawagam. Walaupun dikritik hebat kerana dikatakan tiada kelainan jika dibandingkan dengan filem komedi seram lain, “Suatu Malam Kubur Berasap” yang menampilkan Angah Raja Lawak dan Along Cham ini masih mendapat tumpuan di pawagam.

Itulah 10 Filem Terbaik Malaysia 2011 yang mencapai box office.

Kredit Info : my.entertainment.yahoo.com : 10 Filem Terbaik Malaysia 2011


2 comments:

  1. Kenape filem berani punya budak arahan aflin syauki x trcalon???sy rase filem tu ptt trsenarai dlm ktogri 10 filem terbaik!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. ni bukan filem terbaik.cuma senarai filem kutipan tertinggi je

      Delete